TOP > ALL > GENERAL > Haruki Murakami dalam filem: Tiga judul filem adaptasi nyata yang diterbitkan di Jepun setakat ini
GENERAL

Haruki Murakami dalam filem: Tiga judul filem adaptasi nyata yang diterbitkan di Jepun setakat ini

Interpretasi visual dunia Murakami yang gelap, rumit dan menawan hati

Setiap musim luruh, ketika pengumuman Hadiah Kesusasteraan Nobel menjelang, sekumpulan orang yang unik berkumpul di sebuah bar di Tokyo dengan memegang buku dan foto berbingkai, sambil berdoa agar, akhirnya, harapan mereka yang ditunggu-tunggu selama ini menjadi nyata. Para “Harukist”, jolokan biasa bagi mereka, ialah para peminat novelis Haruki Murakami yang paling setia, orang-orang yang telah terus mendukung kepopularan global penulis itu dan status bintang kesusasteraannya. Mereka juga mewakili puluhan ribu peminat di seluruh dunia yang, berkemungkinan besar atas sebab-sebab praktikal, tidak dapat berada di bar Tokyo itu. Tetapi mengapa Harukist berada di seluruh dunia dan apakah rahsia Murakami yang menawan hati mereka? Apakah yang telah menyumbang ke arah menjadikan penulis kelahiran Jepun ini salah seorang daripada novelis yang paling terkenal dalam generasi kita? Adakah kerana beliau telah menghasilkan beberapa cerita yang paling mengharukan, menyayat hati, manusiawi, dan merentas genre bagi zaman ini, atau adakah sesuatu yang lebih dalam ceritanya?

Dilahirkan di ibu kota lama Jepun, Kyoto pada tahun 1949, Haruki Murakami membesar di Kobe sebelum berpindah ke Tokyo untuk belajar di universiti yang berprestij tinggi, dan kemudiannya membuka sebuah bar jazz yang selesa. Pada umur 29 tahun, beliau mengarang karya fiksyennya yang pertama, “Hear the Wind Sing” (1979), setelah mendapat inspirasi dari permainan bola lisut. Semenjak itu, beliau telah mengarang karya-karya yang laris terjual di seluruh dunia — termasuk “1Q84”, “Kafka on the Shore”, “After the Quake,” “Dance Dance Dance,” dan sudah semestinya, “Norwegian Wood.” Karya-karya beliau yang selalu digambarkan sebagai gelap, berealiti selari, dan, kerap kalinya, “kebaratan,” telah diterjemahkan ke dalam lebih dari 50 bahasa.

Sebagai penulis skrip lakon layar atau pengarah filem, menjadikan cerita Haruki Murakami menjadi sesuatu untuk tayangan di layar perak akan menjadi satu tugas yang mendefinisikan kerjaya mereka dan sukar. Murakami sukar ditakrifkan, susah difahami, dan mustahil untuk dipersembahkan bagi penonton satu-satu kebudayaan, kerana wujudnya peminat beliau di peringkat global. Tetapi adaptasi filem beliau yang sangat sedikit telah setakat ini mendapat kejayaan besar. Berikut adalah tiga karya terbaik beliau yang telah dijadikan sebagai filem, disertakan dengan petunjuk yang menjadikan karya Murakami bernilai unuk dibaca — atau, dalam hal ini — ditonton.

1. Tony Takitani (トニー滝谷), 2005

Tony Takitani ialah sebuah cerita pendek yang diinspirasikan dari sehelai baju-t yang Murakami temui di satu jualan garaj di Maui: ia tertera: “Tony Takitani, House (D).” Murakami tertarik dengan nama di atas baju-t itu, dan berfikir tentang orang yang mempunyai nama seperti itu. Perasaan ingin tahu ini menjadi inspirasi bagi bukunya — yang diterbitkan pada tahun 2002, menjejaki kisah En. Takitani, seorang pelukis ilustrasi yang dibesarkan oleh seorang pemuzik jazz yang menjadi bapa tunggal.

Setelah dilayan berbeza kerana namanya yang “ke-Amerika-an”, Tony memilih untuk menghabiskan lebih masa berseorangan, bekerja keras dan mengumpulkan harta yang sederhana sebelum bertemu seorang klien, Eiko, dan berkahwin dengannya. Pasangan itu bahagia. Namun, minat Eiko membeli belah bertukar dari sebuah hobi kepada satu masalah yang serius. Dalam perjalanannya ke sebuah butik tempatan untuk mengembalikan kot dan baju, Eiko terbunuh dalam kemalangan jalanraya, meninggalkan Tony yang bersedih hidup keseorangan.

Sementara ia tidak begitu terkenal dengan meluas di peringkat antarabangsa, filemnya, yang diarahkan oleh mendiang Jun Ichikawa, telah digambarkan oleh The New York Times sebagai “filem yang halus dengan sengatan yang tajam luar dari jangkaan.” Ia kontemplatif, manusiawi, dan mempunyai semua ciri sebuah cerita Murakami yang hebat. Runut bunyinya dihasilkan oleh salah seorang komposer yang paling ikonik di Jepun, Ryuichi Sakamoto.

Pelakon: Issey Ogata, Rie Miyazawa
Pengarah: Jun Ichikawa

2. Norwegian Wood (ノルウェイの森), 2010

Diterbitkan pada tahun 1987, “Norwegian Wood” boleh dikatakan adalah karya Murakami yang paling terkenal dan dibaca dengan meluas. Ia dinamakan sempena judul lagu the Beatles, sebuah lagu yang membawakan perasaan yang sangat nostalgia kepada protagonis cerita ini, Toru Watanabe, yang berumur 37 tahun. Nobel ini ialah sebuah kisah sayu dua orang watak utama, Toru dan Naoko, yang bertemu ketika mereka masih remaja — Naoko, yang merupakan teman wanita bagi kawan baik Toru di masa remaja, Kizuki, yang membunuh diri pada usia 17 tahun. Kisah ini mengikuti pasangan ini dan hubungan yang mereka jalini dalam beberapa tahun setelah kematian Kizuki. Antara kedua-duanya, terdapat sedikit keromantisan, sedikit saling kebergantungan, dan banyak pengharapan sepanjang cerita, lantas tidak hairanlah jika ia menjadi sebuah karya kesusasteraan yang mesti dibaca oleh mana-mana remaja yang murung.

Diarahkan oleh Tran Anh Hung, seorang warga Paris kelahiran Vietnam, adaptasi filem bagi buku berkenaan telah diterbitkan pertama kalinya pada tahun 2010. Untuk beberapa ketika, Tran Anh Hung — seorang pengarah yang terkenal atas filem-filem Vietnamnya, “The Scent of Green Papaya,” dan “The Vertical Ray of the Sun” — menceritakan tentang minatnya untuk menjadikan “Norwegian Wood” sebagai sebuah lakon layar. Pada mulanya, Murakami merasa berat hati — sebagaimana yang mungkin anda telah agak sekarang, beliau tidak begitu menggemari bukunya dijadikan filem.

Setelah kedua-duanya bertemu di Tokyo, Tran Anh Hung menulis skrip filemnya dalam bahasa Perancis, kemudian menterjemahkannya dalam bahasa Inggeris untuk membincangkannya dengan Murakami sebelum membuat penggambaran filem dalam bahasa Jepun. Sementara tajuk cerita ini adalah merujuk kepada sebuah lagu karya kugiran yang terhebat bagi generasi terdahulu, runut bunyi filem ini adalah dihasilkan oleh Jonny Greenwood, pemain gitar utama dan keyboard untuk Radiohead, salah sebuah kugiran rock yang paing hebat pada zaman moden.

Pelakon: Kenichi Matsuyama, Rinko Kikuchi, Kiko Mizuhara
Pengarah: Tran Anh Hung

3. Hanalei Bay (ハナレイ・ベイ), 2018

Dinamakan bersempena teluk pulau Kaua’i yang popular di Hawaii, filem tahun 2018 ini merupakan satu lagi adaptasi cerita pendek Murakami. Kisah ini mengikuti Sachi, pemilik sebuah bar piano dan seorang ibu tunggal. Pada satu hari ketika meluncur air, anak lelaki Sachi, Takashi yang masih remaja, diserang dan dibunuh oleh ikan jerung yang menghendap di dalam perairan Teluk Hanalei yang cantik. Pada ulang tahun ke-10 kematian anak lelakinya, dia melawat teluk itu untuk memberikan penghormatan. Ketika di pantai, dia bertemu dua peluncur muda yang menceritakan kepadanya tentang seorang peluncur muda yang berkaki satu, yang bernama Takashi.

Selain daripada cerita “Hanalei Bay”, sinematografi, dan pemandangan laut yang menakjubkan, pemutus juga merupakan sebab utama untuk menonton filem itu. Melakonkan pelakon veteran Yoh Yoshida dalam peranan utama sebagai ibu Takashi, filem itu, yang diarahkan oleh Daishi Matsunaga, juga mempunyai beberapa nama terkenal lain. Reo Sano dari kumpulan pop Jepun, Generations from Exile Tribe — yang telah mendapat perhatian bagi lakonan beliau sejak kebelakangan ini — memainkan watak Takashi, sementara para peminat “Terrace House” mungkin mengenali legenda peluncur yang tinggal di Aloha State, Gai Sato yang memainkan watak Miyake, kawan Takashi.

Pelakon: Yoh Yoshida, Reo Sano, Nijiro Murakami
Pengarah: Daishi Matsunaga

Patah hati, kematian, keluarga berantakan, Murakami jarang mengarang kisah-kisah yang berperasaan baik — seperti yang ditunjukkan oleh filem-filem di atas. Namun apa yang beliau karangkan adalah sangat-sangat benar dan penerokaan tentang apa ertinya menjadi manusia yang tidak diragukan, sangat mengharukan. Karya beliau tidak menonjol dengan elegan tetapi sangat-sangat puitis. Tanpa mengira bahasa apapun yang anda pertuturkan, terdapat suatu keajaiban yang terdapat dalam karya Murakami, yang merentasi kewarganegaraan dan menyatukan setiap dan semua orang yang menikmati karyanya — sama ada dalam bentuk lisan atau visual.

Teks oleh Lucy Dayman

RECOMMEND POSTS

ページトップへ