TOP > ALL > ANIMATION HORROR > Tiga kostum Halloween sepanjang zaman yang diinspirasikan oleh budaya pop Jepun dalam filem 
ANIMATION
HORROR

Tiga kostum Halloween sepanjang zaman yang diinspirasikan oleh budaya pop Jepun dalam filem 

Bersedia membawa pengalaman muslihat atau belanja anda ke tahap yang baru pada tahun ini?

Halloween mungkin bukan tradisi yang diamalkan di semua tempat di seluruh dunia, namun satu perkara yang menyatukan kita merentasi budaya dan sempadan ialah perasaan yang hadir sekali-sekala untuk memakai kasut (atau pakaian) orang lain dan menjadi individu yang lain selama sekurang-kurangnya satu hari — sama ada selebriti atau watak kesukaan kita pada masa kanak-kanak. Oleh sebab itulah Halloween berguna memberikan kita, sekurang-kurangnya, satu sebab yang diiktiraf global untuk keluar dari zon selesa kita dan berpakaian untuk menarik hati selama satu hari.

Sebagai pusat tumpuan budaya ‘cosplay’, Jepun dengan mudah menerima budaya Halloween, menjadikannya salah satu daripada acara tahunan yang paling ditunggu-tunggu dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Walaupun dikatakan bahawa acara Halloween yang awal diadakan pada tahun 1970-an dan awal tahun 1980-an, hanya pada sekitar awal tahun 2000-an Halloween mula menjadi acara yang popular dengan meluas di Jepun, apabila Tokyo Disneyland dan Universal Studio Japan di Osaka mula meraikan Halloween secara tetap. Kini, kepopularan acara tersebut terus berkembang dengan pesat setiap tahun — pada tahun 2018 sahaja, dianggarkan bahawa pasaran Halloween mencecah kira-kira 124 bilion yen Jepun. Daripada deretan kedai dan gula-gula hinggalah perarakan jalanan dan sudah tentu kostum kreatif yang menakjubkan, apabila Oktober tiba, Jepun memasuki demam Halloween yang mempesonakan.

Tidak seperti kostum tradisional muslihat dan belanja Halloween, perayaan Halloween di Jepun lebih banyak tentang rupa; semakin kreatif kostum seseorang, semakin bagus. Setiap tahun pada hari-hari terakhir bulan Oktober, ribuan orang berjalan-jalan di jalanan Tokyo dan bandar-bandar besar yang lain, membuat pertunjukan fesyen jalanan besar-besaran dan perayaan awam yang diinspirasikan oleh watak-watak yang terkenal di seluruh dunia, fiksyen dan bukan fiksyen. Parti-parti yang paling meriah berlangsung di daerah Shibuya di Tokyo, tempat orang ramai yang mengenakan kostum membawanya ke jalanan untuk satu malam pesta. Sementara itu, bandar Kawasaki yang berjiran dengannya menarik perhatian para guru kostum yang sebenar dengan perarakan jalanan tahunan yang menawarkan hadiah, satu perayaan awam yang meraikan kreativiti dan imaginasi terhebat.

Pada tahun ini, untuk menyambut ketibaan satu lagi Halloween, kami telah membuat satu senarai pendek kostum kegemaran kami yang diinspirasikan oleh budaya pop dan filem Jepun. Jika anda belum membuat keputusan tentang kostum Halloween anda bagi tahun ini, atau anda sekadar mencari sebab untuk berpakaian sebagai orang lain selama satu hari, inilah peluang anda untuk menjadi kreatif.

1. Gintoki Sakata (Gintama, 2017): Samurai lucu yang disukai semua orang

Kostum yang sempurna bagi orang yang inginkan watak tenang dengan menjadi seorang bodoh yang rendah diri dan juga pahlawan yang gagah, serta mempunyai rupa yang tampan, lihatlah Gintoki Sakata. Watak protagonis dari siri anime yang sangat terkenal dan sekarang diadaptasi ke filem hidup nyata Gintama, Gintoki ialah seorang bekas samurai revolusi berkemahiran tinggi yang, setelah menentang makhluk asing yang menyerang Jepun pada Era Edo, mendapati dirinya melakukan semua jenis pekerjaan aneh untuk menyara hidup — dari pembantu restoran sushi hinggalah penyiasat dan semua yang ada antaranya. Kemampuannya untuk bertukar kepada pelbagai pekerja profesional untuk satu hari, kemahiran bertarung yang mengagumkan, hubungan yang menyentuh hati dengan rakan-rakannya, dan yang paling penting, rasa lucu yang tidak pernah dilihat sebelumnya, dengan mudah menjadikan kita berasa ingin berkawan dengannya selama sekurang-kurangnya satu hari.

Apa yang anda perlukan: Rambut palsu perak yang pendek, seluar hitam yang ketat, but hitam, baju hitam dengan kolar merah dan belang-belang butang, tali pinggang hitam, kimono putih dengan hujung ombak biru,tongkat kayu.

2. Ichigo Kurosaki (BLEACH,2018): Adi wira sakti yang suka menyendiri

Tarik perhatian semua orang dengan berpakaian sebagai adi wira sakti berambut oren ini dari siri manga popular BLEACH, seorang pelajar sekolah tinggi yang suka menyendiri pada sekilas pandang, yang mengalami perubahan hidup yang menarik apabila dia menjadi Dewa Maut gantian. Demi menyelamatkan keluarganya sendiri daripada roh sesat yang berbahaya, Ichigo Kurosaki mula melindungi roh orang mati dan memandu mereka ke arah mencapai pemindahan yang aman damai ke dunia orang mati. Namun, seperti mana-mana kerja adi wira yang susah, Kurosaki juga harus bertempur dengan “hollow”, roh yang berbahaya dan sesat yang tidak dapat mencapai ketenangan dan berpindah ke dunia orang mati. Walaupun kelihatan pemalu, terasing dan tidak peramah pada mulanya, peminat Kurosaki tahu bahawa itu bukanlah dirinya yang sebenar — pada Halloween kali ini, adalah menjadi misi anda untuk menunjukkan dirinya yang sebenar!

Apa yang anda perlukan: Rambut palsu oren berduri-duri, kanta sentuh perang, baju keseluruhan hitam atau kain lebar hitam dan jaket hitam pendek dan ketat, tali pinggang kain putih, stoking tabi putih, selipar jerami, pedang logam berat

3. Sailor Moon(Pretty Guardians Sailor Moon Eternal The MOVIE,2020): Ketua perempuan comel yang tidak boleh ditandingi sesiapapun

Tidak sabar menunjukkan kepada semua orang bahawa anda tidak pernah melarikan diri dari pertarungan yang hebat? Bahawa anda mempunyai keberanian (dan kekuatan) untuk melawan semua kejahatan di sekeliling anda? Anda mungkin masih muda tetapi anda ialah seorang ketua perempuan yang tidak boleh ditandingi sesiapapun? Jika begitu, kostum Sailor Moon ialah pilihan yang paling sesuai untuk anda pada Halloween ini. Protagonis siri manga shojo Naoko Takeuchi yang terkenal di seluruh dunia, Sailor Moon ialah seorang pelajar perempuan sekolah tinggi yang sentiasa datang lambat, kuat menangis, dan tidak pintar dalam ujian. Namun dia juga ditakdirkan untuk menyelamatkan Bumi daripada kuasa jahat dan setelah dia menyesuaikan diri dengan takdirnya untuk menjadi ‘askar cinta dan keadilan’, dia tidak boleh dihalang. Kecomelannya yang peramah, kekuatannya untuk menentang kejahatan yang paling menggerunkan dalam rupa manusia, dan kemampuannya untuk berlawan dengan rambut yang begitu panjang — siapa yang tidak mahu menjadi Sailor Moon untuk sekurang-kurangnya satu hari?

Apa yang anda perlukan: Rambut palsu kuning yang sangat panjang, skirt biru mini, but merah tinggi, baju putih ketat, reben merah besar, sarung tangan sepenuh tangan putih, cekak rambut Sailor Moon

Selamat Hari Halloween, tidak kira di mana anda berada di dunia!

Teks oleh Rose Haneda

RECOMMEND POSTS

ページトップへ