TOP > ALL > ANIMATION > 5 filem aksi langsung yang diinspirasikan oleh Anime/Manga Jepun
ANIMATION

5 filem aksi langsung yang diinspirasikan oleh Anime/Manga Jepun

Termasuk kisah epik bersejarah, cerita debaran kuasa ghaib, pengembaraan ahli sihir dan wayang tentang rompakan.

Apabila syarikat filem besar mengumumkan bahawa mereka akan membuat adaptasi cerita manga atau anime popular Jepun kepada tayangan aksi langsung, berita sebegitu biasanya mengundang campuran perasaan teruja dan sinis. Membuat hasil yang menggembirakan peminat teras bukanlah kerja yang senang, walaupun terdapat beberapa contoh yang berjaya selama ini. Salah satu adaptasi manga yang paling lama dinanti-nantikan ialah Kingdom, iaitu blokbuster pengembaraan daripada Sato Shinsuke, berdasarkan siri jualan laris yang bertajuk sama daripada Hara Yasuhisa, Sempena keraian keluarannya pada minggu ini, kami akan melihat lima cerita manga/anime yang diminati ramai yang telah diadaptasikan kepada filem berciri aksi langsung setakat ini.

1. Kingdom (キングダム), 2019

Kepopularan manga Hara Yasuhisa telah mencapai kejayaan besar pada tahun-tahun kebelakangan ini, dengan jualan lebih 28 juta naskhah sejak tahun 2015 (hampir tiga kali jumlah yang dijual pada dekad pertamanya). Oleh itu, khabar yang mengatakan bahawa Kingdom akan dibuatkan adapatasi adalah tidak mengejutkan. Dengan berlatarkan zaman Negeri-negeri Berperang di China, kisah ini mengikut Shin (Li Xin dalam bahasa Cina), iaitu seorang anak yatim piatu perang dengan azam kuatnya untuk menjadi jeneral. Dia menyertai pasukan tentera dengan Ei Sei (Ying Zheng), lelaki yang ditakdirkan menjadi maharaja Qin, dan mereka bermatlamat untuk menyatukan negeri-negeri yang berperang itu. Yamazaki Kento berlakon semula sebagai Shin, watak yang dimainkan beliau pada tahun 2016 untuk sebuah klip bertempoh tiga minit bagi meraikan ulang tahun ke-10 manga tersebut. Pelakon sokongan Yoshizawa Ryo (Ei Sei/Hyou) pernah berlakon dengan Yamazaki dalam versi filem manga remaja, “Wolf Girl and Black Prince.”

Pelakon: Yamazaki Kento, Yoshizawa Ryo, Nagasawa Masami, Hashimoto Kanna
Pengarah: Sato Shinsuke

2. Death Note (デスノート), 2006

Adaptasi langsung manga kuasa ghaib daripada Ouba Tsugumi dan Obata Takeshi yang pertama — dan pada pendapat ramai, yang terbaik — Death Note merupakan wayang yang merangsangkan fikiran dengan bertanya tentang kedudukan kita semua di alam semesta ini dan perkara yang akan berlaku jika manusia diberikan kuasa mutlak seperti Tuhan. Di bawah pengarahan Kaneko Shusuke, filem ini dibintangi oleh Fujiwara Tatsuya sebagai Yagami Light, seorang watak antiwira yang menarik, yang menemui buku nota dengan kuasa untuk membunuh sesiapa sahaja yang dituliskan nama padanya. Sambil cuba untuk mengubah dunia ini kepada masyarakat ideal yang tiada penjenayah, Light diburu oleh detektif genius bernama L, yang dilakonkan dengan menakjubkan oleh Matsuyama Kenichi, dan beliau mencapai kejayaan besar dalam melakonkan watak tersebut. Pertarungan minda yang hebat antara watak yang menarik terbukti merupakan tarikan yang melariskan jualan di Jepun, dan ia menurunkan The Da Vinci Code daripada kedudukan tingginya.

Pelakon: Fujiwara Tatsuya, Matsuyama Kenichi, Toda Erika
Pengarah: Kaneko Shusuke

3. Kiki’s Delivery Service (魔女の宅急便), 2014

Filem mesra keluarga yang menghiburkan dan berbeza daripada versi animenya yang lebih diketahui, adaptasi langsung Kiki’s Delivery Service ini bukan sahaja merupakan penghasilan semula wayang klasik Miyazaki Hayao, tetapi juga merupakan percubaan oleh pengarah Shimizu Takashi untuk memberikan sentuhannya sendiri pada novel fantasi Kadono Eiko yang bernama sama ini. Dengan unsur yang sedikit lebih gelap daripada yang asal (yang tidak mengejutkan memandangkan latar belakang Shimizu adalah pembuatan wayang seram), kisah ini menceritakan tentang seorang gadis berumur 13 tahun yang bernama Kiki yang perlu tinggal berjauhan daripada keluarganya sebagai sebahagian daripada latihan ahli sihirnya. Dia bergelut untuk membiasakan diri dengan persekitaran baharunya, tetapi cuba mengekalkan sikap positif dan mengingati nasihat ibunya iaitu sentiasa senyum. Bekas atlet luncur ais berbunga Koshiba Ruka berlakon sebagai Kiki. Ruka yang berumur 16 tahun semasa uji bakat telah berjaya memenangi peluang untuk memainkan watak tersebut daripada 500 calon yang lain.

Pelakon: Koshiba Fuka, Hirota Ryohei, Ono Machiko
Pengarah: Shimizu Takashi

4. Lupin the Third (ルパン三世), 2014

Ciptaan daripada Monkey Punch pada lebih setengah abad yang lalu, Lupin the Third merupakan watak ikonik yang diketahui umum sebagai pencuri yang paling hebat dan paling dikehendaki. Dalam adaptasi langsung Kitamura Ryuhei daripada manga, dalang penjenayah ini menghimpunkan segerombolan perompak untuk menyusup masuk ke peti simpanan yang berupa kubu untuk mencuri “Hati Kirmizi Cleopatra”, seutas rantai leher yang dibuat di bawah arahan Mark Antony yang dikatakan memberi pemiliknya kuasa untuk menakluki dunia. Pelakon popular Oguri Shun, yang memainkan watak Lupin the Third yang kelihatan langsing, melalui latihan aksi 10 bulan dan dilaporkan menurun berat 8 kilogram untuk filem ini, manakala bintang gandingan Ayano Go menaikkan beratnya sebanyak 10 kilogram untuk watak beliau sebagai pemain pedang Ishikawa Goemon. Wayang ini diberikan sentuhan ala antarabangsa dengan dialog bahasa Inggeris dan babak di pelbagai negara yang berbeza.

Pelakon: Oguri Shun, Ayano Go, Kuroki Meisa, Asano Tadanobu
Pengarah: Kitamura Ryuhei

5. Rurouni Kenshin (るろうに剣心), 2012

Sebagai wayang penuh aksi dan berpersonaliti yang menyentuh hati pada sesetengah babaknya, tayangan pengembaraan Otomo Keishi, Rurouni Kenshin membanggakan hasil ciptaan Watsuki Nobuhiro itu. Dengan berlatarkan tahun-tahun awal Zaman Meiji, cerita ini mengisahkan pembunuh ternama legenda bernama Himura Kenshin yang kini merupakan samurai berkelana yang melindungi orang-orang yang susah sebagai cara untuk menebus kesalahan silamnya. Watak ini dimainkan oleh Satou Takeru, yang mengatakan bahawa watak Himura ini seakan-akan “rakan karibnya” yang beliau ingin “terus mainkan selama-lamanya.” Takei Emi, yang memainkan watak kekasih Himura dalam filem tersebut, Kamiya Kaoru, telah memenangi beberapa anugerah Pelakon Baharu Terbaik. Kejayaan yang kritikal dan komersial, Rurounin Kenshin umumnya dipandang sebagai salah satu adapatasi manga aksi langsung yang paling baik yang pernah dibuat. Dua filem susulan telah dikeluarkan pada tahun 2014.

Pelakon: Satou Takeru, Takei Emi, Kagawa Teruyuki
Pengarah: Otomo Keishi

Walaupun filem anime/manga aksi langsung sering dikritik hebat oleh peminat dan pengkritik, masih terdapat beberapa ciptaan baik yang membanggakan. Wayang-wayang yang disebut di atas, seperti Death Note dan Rurouni Kenshin, menunjukkan bahawa kita masih mampu untuk membuat adaptasi yang baik selagi jalan cerita tidak diubah dengan banyak.

Teks oleh: Matthew Harnon

RECOMMEND POSTS

ページトップへ