TOP > ALL > GENERAL > Sebab-sebab dunia kita memerlukan karya Kore-eda Hirokazu
GENERAL

Sebab-sebab dunia kita memerlukan karya Kore-eda Hirokazu

Pertalian keluarga, komuniti yang tidak diketahui umum dan gaya karya bertemakan perkara yang tidak diketahui merupakan beberapa contoh topik kehandalan beliau

Merenung kembali sepanjang tahun lalu, maka wajarlah kita boleh mengatakan bahawa tahun 2018 merupakan tahun yang bergelora dalam dunia wayang Jepun. Pemergian tokoh utama terkenal seperti Kiki Kirin dan Akagi Harue mendukakan seluruh industri wayang Jepun. Dari sudut lain, pawagam memperlihatkan beberapa kejayaan wayang yang tidak pernah dicapai sebelum ini, termasuk wayang zombi kos rendah dengan kisah ala Cinderella bertajuk One Cut of the Dead, dua keluaran Godzilla animasi 3D baharu yang bertajuk (Godzilla: City on the Edge of Battle dan Godzilla: The Planet Eater) dan Code Blue: The Movie, yang dengan keuntungannya sebanyak ¥9.22 bilion, telah mendapat kedudukan No.1 dalam hasil wayang terlaris.

Tetapi tidak dapat dinafikan bahawa berita dalam dunia wayang Jepun yang paling diraikan sama ada pada peringkat tempatan mahupun pada peringkat antarabangsa adalah apabila pengarah Kore-eda Hirokazu memenangi anugerah paling berprestij dalam Pesta Filem Palme d’Or — untuk filemnya Shoplifters (Manbiki Kazoku) pada bulan Mei 2018. Pencapaian ini bukan sahaja menarik perhatian seluruh dunia kepada industri wayang Jepun dengan cara yang jarang tercapai sejak zaman Kurosawa Akira, tetapi juga membuktikan fakta yang dikhabarkan sejak dahulu kala: karya Kore-eda menonjol kerana temanya berkait rapat dengan penonton dengan cara yang menjangkau lebih daripada minat dan semangat peminat — ia mencerminkan makna hidup manusia yang sebenar-benarnya.

Tetapi aspek karya Kore-eda manakah yang begitu mempesonakan dan mengapa kita ditarik secara tidak sedar oleh pengisahan ceritanya berulang kali? Adakah ia disebabkan oleh pengulangan pertanyaan “makna” dalam karya beliau? Atau adakah ia disebabkan oleh usaha beliau untuk sering mempamerkan aspek Jepun yang tidak pernah berani disentuh oleh orang lain? Atau ia disebabkan oleh keadaan sebaliknya — usaha beliau untuk berulang kali mempamerkan bahawa hakikatnya, tanpa kira sempadan, rintangan bahasa dan budaya, kita semua dipengaruhi oleh cabaran hidup dan perasaan manusia yang sama serupa? Walau apa pun tafsiran anda, hakikatnya adalah melalui karya beliau, Kore-eda terus menerokai tema tertentu yang membuatkan wayangnya popular dan juga bersifat boleh dikaitkan pada masa yang sama. Pertalian keluarga, komuniti yang tidak diketahui umum dan gaya karya bertemakan perkara yang tidak diketahui merupakan beberapa contoh tema karya beliau.

Apakah ciri yang membentuk maksud keluarga?

Titik kemasukan dalam kebanyakan filem Kore-eda ialah keluarga, yakni tema yang diterokai melalui penayangan bahagian-bahagian kehidupan orang biasa. Kebanyakan masanya anda tidak akan dapat melihat aksi dramatik — tiada bunyi kuat, kesan khas atau perubahan jalan cerita yang mendadak yang terdapat dalam kebanyakan wayang Jepun. Sebaliknya, kita dipelawa untuk mengalami kehidupan keluarga-keluarga tersebut sambil mereka melalui cabaran biasa, perasaan dan peristiwa penting.

Contohnya, dalam Our Little Sister (Umimachi diary), kita mengikuti kehidupan tiga adik-beradik dewasa yang menjalani hidup bersama-sama dalam rumah besar yang diwarisi daripada ibu bapa mereka yang telah bercerai dan terenggang hubungan. Wayang ini bermula dengan upacara pengebumian bapa adik-beradik itu, yang sudah tidak bertemu muka dengan mereka selama 15 tahun dan juga orang yang disalahkan kerana menyebabkan hancurnya keluarga asas mereka. Bapa adik beradik ini telah jatuh cinta dengan wanita lain dan menjalani kehidupan baharu dengan meninggalkan tiga anak perempuannya. Di upacara pengebumian, adik-beradik tersebut bertemu dengan Suzu, gadis berumur 15 tahun yang merupakan anak perempuan bapa mereka daripada perkahwinan kedua — dan sudah tentu, merupakan adik tiri mereka. Wayang ini mengembang sehingga Suzu mula menetap bersama kakak-kakaknya dan keempat-empat adik-beradik ini menjalani kehidupan baharu sebagai keluarga, yang setiap seorang daripada mereka menghadapi cabaran, keraguan dan batasan dalam hidup mereka masing-masing.

Sepanjang wayang ini, konsep tentang makna sebenar keluarga diterokai dengan pelbagai cara. Watak keibuan dalam karya ini bukanlah ibu mereka (yang telah berpindah ke Hokkaido selepas kecurangan suaminya dan juga telah meninggalkan anak perempuannya) tetapi jatuh kepada Sachi, iaitu anak sulung keluarga tersebut. Gambaran keluarga yang “menjalankan kewajipan biasa” yang ibu bapa sentiasa bertanggungjawab untuk anak mereka telah ditentangi. Begitu juga dengan gambaran biasa kami tentang keluarga asas. Tetapi pada dasar terasnya, kita diajukan soalan asas yang bermain-main dalam banyak filem Kore-eda: Adakah pertalian keluarga dibentuk melalui darah atau melalui kasih? Dalam filem ini, kita dapat melihat bahawa pertalian darah tidak membawa makna kepada Kore-eda dan watak-wataknya.

Shoplifters, yang ditayangkan oleh Kore-eda sebagai sambungan separa kepada Like Father, Like Son (Soshite, Chichi Ni Naru), menerokai tema ini dengan lanjut. Dalam Like Father, Like Son, kita mengenali dua keluarga yang jauh bezanya menjalani kehidupan biasa mereka sehingga satu panggilan telefon memaklumkan mereka bahawa jururawat telah tertukar anak kedua-dua keluarga tersebut semasa dilahirkan di hospital. Kedua-dua keluarga tersebut berdepan dengan dilema untuk memilih sama ada terus membesarkan anak yang dijaga sejak lahir atau untuk kembali kepada pertalian darah berbanding dengan kemesraan dan menukarkan anak mereka semula. Apakah yang telah berlaku akhirnya? Itulah pertanyaan yang mengasyikkan kita sebagai penonton sambil kita melihat perkembangan kisah tersebut.

Dalam Shoplifters, sekali lagi kita bertemu dengan kisah “keluarga” yang terdiri daripada orang-orang tanpa pertalian darah. Mereka hanyalah beberapa individu yang, atas desakan hidup yang aneh, telah mula hidup bersama. Peranan “ibu bapa” dalam kisah tersebut ialah dua orang terbuang yang membina keluarga dengan mengambil anak-anak daripada keadaan teraniaya dan membesarkan anak-anak tersebut seperti anak mereka sendiri. “Keluarga” ini menampung kehidupan mereka dengan mencuri barang di kedai dan walaupun etika mereka tentang harta dan wang adalah salah di sisi undang-undang, kita mendapati mereka hidup dengan gembira dan mengasihi antara satu sama lain. Walaupun perbuatan mereka tidak baik dan tiada pertalian darah atau DNA, pertalian mereka adalah lebih kuat daripada mana-mana keluarga “sempurna” lain yang kita sering kagumi apabila sekali pandang.

Di negara yang pertalian darah dianggap sebagai dasar bagi setiap keluarga asas, percanggahan berterusan daripada Kore-eda untuk menunjukkan bahawa terdapat banyak alternatif kepada keluarga dan tiada mana-mana daripadanya adalah luar biasa sekiranya ada cinta dan kasih di dalamnya, ialah sudut pandangan yang baharu sekali.

Komuniti yang tidak dilihat umum: Penyerlahan pada kisah hidup yang jarang diketahui

Satu lagi tema yang sering wujud dalam karya Kore-eda ialah penerokaan tema dan komuniti yang jarang diketahui oleh orang ramai. Kemiskinan dan pengasingan sosial seperti dalam Shoplifters, amalan seleweng seperti dalam Like Father, Like Son, pengabaian anak seperti dalam Nobody Knows dan Shoplifters, perceraian dan pemisahan anak seperti dalam After The Storm (Umi yori mo Mada Fukaku) dan malah juga keghairahan cinta luar biasa seperti dalam Air Doll (Kuki Ningyo).

Walaupun banyak wayang di Jepun adalah berdasarkan manga atau novel jualan laris, Kore-eda terkenal atas amalannya untuk mencari ilham untuk projek yang seterusnya dalam berita dan kisah kehidupan sebenar. Sekali lagi kami memperlihatkan kehidupan dan kecelakaan biasa yang malangnya berlaku di merata, sehingga kita (dan warga media) telah bersifat agak lali terhadap keadaan-keadaan tersebut.

Nobody Knows, salah satu karya Kore-eda yang paling mengagumkan sehingga kini dan karya inilah yang meletakkan beliau di atas pentas antarabangsa selepas ia ditayangkan di Pesta Filem Cannes 2004, adalah berdasarkan kes pengabaian anak sebenar yang berlaku di Tokyo. Dikenali sebagai “kes pengabaian anak Sugamo,” kejadian sebenar yang berlaku pada tahun 1988 yang ibu keluarga itu meninggalkan empat orang anaknya di pangsapuri di daerah Sugamo, Tokyo, lalu membiarkan anak-anak tersebut menyara diri mereka selama sembilan bulan. Berita ini dilaporkan secara besar-besaran pada masa itu disebabkan oleh keadaan kes tersebut yang mengamankan, tetapi malangnya, kes seperti itu bukan satu sahaja. Pada tahun 2010, mayat dua kanak-kanak kecil telah dijumpai di sebuah pangsapuri di Osaka, selepas si ibu yang berumur 23 tahun telah meninggalkan anaknya tanpa makanan dan cara untuk memperoleh makanan. Kedua-dua kanak-kanak itu telah mati kelaparan. Pada tahun 2017, sepasang suami isteri berumur 20 tahun lebih telah membiarkan anak lelaki mereka mati kelaparan di Saitama. Malangnya, kejadian seperti ini kerap sekali berlaku.

Pengabaian anak ialah jenis penganiayaan kanak-kanak yang ketiga terbesar di Jepun. Setakat tahun fiskal 2017, sudah terdapat 26,818 kes pengabaian anak di dalam negara tersebut, hampir 1,000 lebih daripada tahun sebelumnya. Namun, media utama hanya akan melaporkan kes-kes ini jika ia berakhir dengan tragedi. Dengan meletakkan mangsa salah laku sosial yang banyak tetapi tidak dilaporkan di tengah-tengah sorotan utama, Kore-eda telah berjaya menunjukkan aspek Jepun yang lain yang, malangnya, disembunyikan dengan baik di sebalik tirai indah dan kaca yang ditapis oleh media — terutamanya kepada khalayak negara asing.

Dalam Shoplifters, sekali lagi kita memperlihatkan tema pengabaian anak tetapi dengan cara lain — kita melihat kanak-kanak yang sudah diabaikan dan teraniayai diselamatkan oleh “penjenayah” yang memberi mereka rumah yang mesra dan bahagia. Di sini lagi, kami diajukan pertanyaan: Apakah itu jenayah, apakah itu hukuman dan apakah itu kejahatan sebenar dalam masyarakat kita?

Semasa temu bual dengan ScreenDaily pada tahun 2018, Kore-eda mengaku bahawa Shoplifters juga berdasarkan kisah sebenar, iaitu penipuan pencen yang dilakukan oleh keluarga yang, selepas kematian ibu bapa mereka yang tua, tidak melaporkan kematian tersebut dan masih terus menerima pencen dengan menyalahi undang-undang. Namun, apabila kita mendengar tentang penipuan tersebut, latar belakang keluarga, keadaan yang mendesak mereka melakukan jenayah tersebut, keadaan minda mereka pada masa itu dan banyak faktor lain yang menyumbang kepada keadaan tersebut, telah dipadam pada kebiasaannya.

“Pengasingan kelas telah bertambah luas di Jepun sepanjang lima tahun yang lalu dan terdapat banyak orang yang tidak diliputi oleh jaringan keselamatan yang harus dilaksanakan,” kata Kore-eda.

Jenayah dan hukuman: Apakah yang kita benar-benar tahu tentang jenayah?

Inilah pertanyaan akhir yang diajukan oleh Kore-eda pada tahun 2017 dengan keluaran The Third Murder (Sandome no satsujin), filemnya yang kedua terakhir sebelum Shoplifters. Sebagai penyimpangan yang jelas daripada karya terdahulunya, filem ini bertumpu pada keganasan, jenayah, hukuman mati dan minda manusia yang akhirnya bertanggungjawab untuk segala-gala yang diputuskan sebagai betul atau salah.

Wayang ini mengisahkan cerita seorang lelaki yang telah mengaku bahawa dia melakukan dua pembunuhan ganas yang, jika didapati bersalah, yang semestinya akan menyebabkannya dikenakan hukuman mati. Jenayahnya ialah pembunuhan yang kejam, tidak dapat diterangkan dan tidak munasabah yang menyebabkan pihak polis menghadapi kesukaran semasa cuba merungkai misteri kes ini. Namun, selepas bertemu dengan peguam baharu yang bercita-cita tinggi, watak utama ini mula mengubah ceritanya, yang menjadikannya lebih sukar untuk semua pihak (termasuk kita sebagai penonton) untuk memahami motifnya untuk jenayah tersebut. Sambil plot Kore-eda semakin mengembang, kita sekali lagi berdepan dengan beberapa pertanyaan yang kita — sehingga penghujungnya — masih mungkin tidak dapat menjawab, Adakah watak utama ini bersalah kerana jenayahnya yang sudah berlalu? Apakah yang mengesahkan pembunuhan seorang manusia? Apakah yang mengesahkan hukuman mati? Dan apakah yang kita sebenarnya tahu tentang suatu jenayah apabila ia seharusnya telah diselesaikan sepenuhnya? Dengan ciri seperti memendamkan perasaan, tidak bertindak dan sangat kelam, filem ini berjaya menayangkan aspek kehandalan Kore-eda — menyoal keketaraan perikemanusiaan pada layar perak.

Isu tentang makna sebenar jenayah juga diterokai dalam Shoplifters, tetapi tidak seperti The Third Murder, ia jauh lebih langsung dan positif. Dalam Shoplifters, kita dapat melihat beberapa jenis jenayah: pengabaian anak, peninggalan tanggungjawab, pencurian barang di kedai, “penculikan,” dan malah juga buruh kanak-kanak. Tetapi Shoplifters, dengan juga menunjukkan latar belakang jenayah-jenayah itu, sekali lagi mencadangkan bahawa maklumat yang kita ketahui daripada media dan cerita yang kita baca dalam talian tidak akan memberi kita gambaran penuh.

Dengan gelaran “karyawan humanisme industri filem Jepun” (Film Comment, A.S.), dan “Tokoh Jepun yang filemnya sentiasa bersifat manusia” (AFP) daripada media asing, Kore-eda dan gaya tulennya dalam seni perfileman disiratkan dalam pengisahan ceritanya dan keupayaannya untuk mengajukan pertanyaan yang membuat kita berfikir tentang kewujudan kita. Namun, kepakarannya juga merangkumi hakikat bahawa dia hampir tidak pernah menjawab pertanyaan tersebut, dan sebaliknya, membiarkan kita yang membuat keputusan kita sendiri. Pada dasarnya, ceritanya adalah tentang penerimaan kita bahawa kebanyakan masanya, kita tidak akan dapat tahu sepenuhnya — tetapi kita boleh (dan harus) terus berhati-hati, menjaga diri dan bertumpu pada peristiwa biasa dan kurang biasa yang berlaku dalam kehidupan dan persekitaran kita. Sebagai kata muktamad, inilah salah satu antara sebab-sebab dunia kita memerlukan karya daripada pengarah ini — dan sebab-sebab sebaliknya.

Oleh Alexandra Homma

RECOMMEND POSTS

ページトップへ