TOP > ALL > GENERAL > 5 filem jepun yang menjadi buah mulut semua orang pada tahun 2018: bahagian i
GENERAL

5 filem jepun yang menjadi buah mulut semua orang pada tahun 2018: bahagian i

Ketawa, Menangis Dan Teroka Semula Jepun Dengan Tayangan Filem Terkini

Setiap tahun kita menyaksikan beberapa judul filem yang menginspirasikan kita, menaikkan semangat dan yang mengajak kita berkhayal merentasi alam lain. Walau bagaimanapun, pada tahun 2018, industri filem Jepun mencipta beberapa filem menonjol yang berjaya menghiburkan kita, membuat kita terpaku di kerusi wayang kerana satu alasan yang sangat mudah: filem-filem itu menarik emosi kita yang paling dalam; sesuatu yang sangat berkaitan dengan kita. Inilah lima judul filem yang menambat hati kita tahun ini dan menjadi perbualan kita — dan memikirkan tentang tema hidup, kita sebagai mangsa kesibukan hidup moden, malangnya sesekali terlupa

1. Chihayafuru: Bahagian 3 (ちはやふる-結び-)

“Peluang,” kita diberitahu, ialah pintu tanpa tombol – anda tidak boleh membukanya sendiri. Tetapi apabila seseorang membukanya untuk anda, anda perlu berada di sana, bersedia untuk masuk dan mengambilnya tanpa mengira apa yang akan berlaku. Bahagian terakhir filem komik terkenal Yuki Suetsugu, Chihayafuru Bahagian 3 ialah penutup sama seperti permulaan baharu yang diilhamkan dengan tema mengambil peluang dalam kehidupan seseorang. Ketika trio protagonis terkenal, Chihaya (Suzu Hirose), Taichi (Shuhei Nomura) dan Arata (Mackenyu Arata), bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal kepada kehidupan sekolah menengah, mereka berhadapan dengan ketidaktentuan perasaan: konflik pilihan, keraguan dan cinta yang tidak berbalas. Namun, suatu hari mereka menyedari bahawa orang yang kuat bukanlah orang yang selalu menang, tetapi orang yang mempunyai keinginan untuk memberi inspirasi kepada orang di sekeliling mereka agar menjadi lebih kuat dengan menunjukkan kemungkinan yang mereka ada walaupun ini bermakna mengalah dengan perasaan sendiri. Tonton untuk melihat kisah Chihaya, Taichi dan Arata menjadi lebih rumit daripada sebelumnya – sehingga mereka mengatasinya.

Tonton dengan:Rakan zaman kanak-kanak anda.

Adegan mesti dilihat: Setiap adegan yang menunjukkan pandangan mata Chihaya ketika dia bermain kad karuta dan perlawanan akhir.

Mengapa kami mencadangkannya? Bahagian yang paling kuat dalam siri ini, ianya sebuah mahakarya. Tonton untuk melihat kisah cinta antara tiga watak utama kita akhirnya terungkai.

2. Dunia Yang Sempurna (パーフェクトワールド 君といる奇跡)

Cinta hadir dalam pelbagai bentuk – tiada satu pun daripadanya yang sempurna. Namun, jika ada satu titik perasaan kita terhadap seseorang sangat suci dan kuat sehingga sebarang halangan menjadi sekadar perhentian kecil di sepanjang jalan yang panjang, disitulah hadirnya kesempurnaan. Tsugumi (Hana Sugisaki), seorang pekerja syarikat berusia 24 tahun, bertemu kembali dengan Itsuki (Takanori Iwata), kekasih sekolah tingginya, melalui kerja. Tetapi tubuh dan keadaan mindanya tidak lagi seperti dulu. Beliau kini berkerusi roda, memerlukan bantuan di mana sahaja dia pergi, tambahan pula, dia telah berputus asa dengan cinta, percaya bahawa dia hanya akan menjadi beban dalam kehidupan orang lain. Tetapi apabila kedua-duanya semakin rapat, Tsugumi mula memainkan peranan istimewa dalam hidupnya sehingga dia sedar kemungkinan wujudnya dunia yang sempurna.

Orang yang kita cintai tidak akan sentiasa bersama kita. Lima, sepuluh tahun dari sekarang, mereka mungkin tiada di sini atau mereka mungkin tidak sama lagi. Namun, cinta bermakna berjalan bersama-sama walaupun ianya sukar. Filem ini mengingatkan kita tentang perkara itu dengan tepat.

Tonton dengan:Seseorang yang rapat dengan anda.

Adegan mesti dilihat: Apabila Tsugumi melawat Itsuki di hospital dan kedua-dua menyedari mereka pasukan yang hebat.

Mengapa kami mencadangkannya? Ia tema yang sukar namun dimainkan dengan hebat oleh Sugisaki dan Iwata. Ia akan membuatkan anda menangis.

3. GABUNGAN. (ミックス。)

Tiada larian kejayaan dalam sukan ping pong mahupun keajaiban. Ia sukan yang mudah tanpa kemegahan, tanpa pakaian seragam mahal dan perhatian. Namun, ia ialah sukan yang mengajar anda beberapa perkara dalam kehidupan, termasuk bila perlu mengaku kalah, bila perlu terus mendesak dan bila perlu berubah. Bekas pemain ping pong berbakat luar biasa yang patah hati iaitu Tamako Tomita (Yui Aragaki) membawa kita sedar tentang hal ini ketika dia berpindah kembali ke kampung halamannya di luar bandar Jepun. Mabuk dan marah selepas teman lelakinya seorang bintang ping pong terkenal berwajah babyface meninggalkannya kerana gadis lain. Bertekad untuk memenangi hatinya kembali, dia berazam menghidupkan semula gim ping pong mendiang ibunya dan membawa murid-muridnya yang sangat sedikit ke pertandingan kebangsaan yang bekas kekasihnya juga bertanding. Pasukan Tamako terdiri daripada pasangan pertengahan umur, seorang isteri doktor selebriti yang memberontak, seorang remaja nerda (nerd) dan seorang bekas petinju pro yang memilih ping pong setelah menyesal kehilangan keluarganya – Hisashi Hagiwara (Eita). Tamako berpasangan dengan Hagiwara, yang akhirnya menjadi pemain utama dalam kehidupannya sendiri dan membantunya memulihkan kepercayaan dan cintanya terhadap sukan itu. Kisah mengatasi kesulitan dan ketidakyakinan, yang merupakan tamparan sebenar yang akan membuatkan anda segar semula dan tersenyum.

Tonton dengan:Teman yang patah hati yang memerlukan keyakinannya kembali.

Adegan mesti dilihat: Apabila Hagiwara menjemput Tamako dan membawanya ke perlawanan akhir dan ketika dia bersemuka dengan bekas kekasih Tamako di sebuah restoran dengan cara yang paling bergaya.

Mengapa kami mencadangkannya? Ia merupakan filem sukan yang pada dasarnya adalah komedi romantik dan ia penuh dengan ketawa dan air mata yang akan meninggalkan setiap peminat filem berpuas hati.

4. Pertunangan 8 Tahun (8年越しの花嫁)

Berapa lamakah anda akan menunggu cinta? Dan sejauh manakah kekuatan dan kecekalan anda untuk kekal walaupun semuanya menentang anda? Berdasarkan kisah sebenar pasangan muda yang tinggal di Okayama di selatan Jepun, Filem Pertunangan 8 Tahun membawa seluruh negara tersentuh, menjadi salah satu cerita cinta zaman moden Jepun yang paling digemari. Kami mengikuti protagonis kami – penuh dengan kehidupan Mai (Tao Tsuchiya) dan pasangannya Hisashi (Takeru Sato) – mereka bertemu, jatuh cinta, bertunang dan mula merancang perkahwinan mereka. Tetapi hanya beberapa bulan sebelum hari persandingan, Mai mengalami kekejangan yang membawa kepada histeria kali pertama, diikuti tidak sedarkan diri dan akhirnya dimasukkan ke hospital tanpa tanda-tanda akan pulih. Setahun kemudian, Mai sedar dan mula pulih, tetapi hanya untuk mengetahui bahawa dia tiada ingatan tentang Hisashi. Walaupun diminta untuk membawa diri, Hisashi terus berharap, berdoa dan menempah tempat perkahwinan yang sama setiap tahun. Sehingga lapan tahun kemudian keajaiban berlaku. Rasa romantis yang menyentuh hati serta mengharukan, akhirnya akan membuatkan anda percaya terhadap cinta lagi.

Tonton dengan:Pasangan anda dan pasangan lain pada temu janji berganda.

Adegan mesti dilihat: Apabila Mai mengaku kepada Hisashi bahawa dia tidak mengingatnya tetapi tetap memberitahu dia tentang perasaannya. Dan sudah tentu, apa yang dikatakannya selepas itu.

Mengapa kami mencadangkannya? Kerana ia membangkitkan kesedaran bahawa pengakhiran bahagia itu wujud. Jika anda berfikir plot itu terlalu sempurna untuk menjadi kenyataan, ingatkan diri anda bahawa ini adalah kisah benar. Gabungan Tsuchiya-Sato memberi kita prestasi lakonan yang layak mendapat tepukan gemuruh.

5.YAKINIKU DRAGON (焼肉ドラゴン)

Terletak di lorong sempit tidak berturap yang tersembunyi di belakang rumah-rumah setinggan dan pengeringan cucian di bawah matahari, berdiri rumah sebuah keluarga yang dengan bangga memanggilnya rumah selama bertahun-tahun. Namun, tidak seperti rumah mereka yang usang, keluarga itu terikat dengan ikatan yang lebih kuat daripada darah dan sempadan negara. Inilah Yakiniku Dragon, restoran daging panggang yang dijalankan oleh keluarga Kim – bapa Ryukichi (Sang-ho Kim), ibu Young-Soon (Jeong-eun Lee), anak perempuan Ryukichi Shizuka (Yoko Maki) dan Rika (Mao Inoue) – Anak perempuan Mika (Nanami Sakuraba) dan anak remaja Ryukichi dan Young-Soon Tokio (Shinpei Ooe). Mereka ialah penduduk Korea yang tinggal di Jepun dan ketika kedua orang tuanya dibawa ke Jepun semasa perang (dan tidak boleh kembali selepas perang berakhir), anak-anak mereka dibesarkan sebagai warga Jepun – sehingga mereka diingatkan bahawa mereka bukan warga Jepun sepenuhnya. Di tengah-tengah kisah air mata, sedikit pergaduhan dan jeritan di dalam keluarga, kita menemukan kehangatan, penerimaan cara hidup, harapan masa depan dan sentiasa kembali ke akar umbi – yang akhirnya ialah keluarga. Sebuah filem yang meneroka topik sensitif untuk hidup sebagai minoriti etnik di Jepun, perbezaan pandangan antara generasi etnik terhadap kehidupan, perjuangan untuk belajar menerima kehilangan dan kesedaran utama bahawa rumah adalah tempat hati anda, bagi sesiapa yang pernah meragui asal usul, etnik dan diri mereka sendiri.

Tonton dengan:Sendirian. Tetapi hubungi keluarga anda selepas anda selesai menontonnya.

Adegan mesti dilihat: Penerimaan menyedihkan Ryukichi terhadap kenyataan bahawa dia tidak dapat bertanding lagi dan ciuman ghairah Rika yang sangat dilarang.

Mengapa kami mencadangkannya? Ia menceritakan kisah keluarga yang walaupun memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi pasca perang Jepun, tidak pernah mendapat perhatian yang sewajarnya.Ini kisah mengharukan yang memaparkan tawa dan air mata serta barisan pelakon hebat yang anda patut tontoni!

Untuk jadual tarikh, tempat dan tontonan Festival Filem Jepun 2018 di negara anda, lihat di sini.

Teks: Pasukan Editorial Festival Filem Jepun

RECOMMEND POSTS

ページトップへ